Advertisement

Responsive Advertisement

700 pil dalam poket seluar


KOTA BHARU - Tindakan seorang remaja dipercayai pengedar dadah melarikan diri daripada polis selepas terserempak dengan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) gagal selepas ditahan dalam kejadian di Jalan Kota Bharu-Ketereh, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, remaja berusia 22 tahun itu dipercayai pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di bandar ini, ditemui dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan ketika memberhentikan motosikalnya.

“Melihatkan keadaan tersebut, anggota JSJ yang menaiki kereta jenis Proton Waja menghampiri pelajar terbabit dan turut memperkenalkan diri sebagai polis kepadanya.

“Akibat cemas dan takut ketika dihampiri anggota polis, dia bertindak menghidupkan enjin motosikal jenis Honda Wave dan melanggar kereta dinaiki anggota serta pegawai JSJ dan berlaku pergelutan,” katanya kepada media.
Azham berkata, polis berjaya menahan pelajar terbabit dan turut menjumpai kira-kira empat paket dadah berisi 200 biji pada tiga paket tersebut dan 100 pada satu paket, jumlah keseluruhannya 700 pil disyaki pil kuda dalam poket  bahagian depan sebelah kanan seluar jeansnya,” katanya.

Menurutnya, semua dadah berkenaan yang berjaya dirampas bernilai RM15,000.

“Hasil ujian air kencing, suspek dipercayai negatif dadah dan ditahan reman tujuh hari bermula semalam sehingga 1 Oktober ini.

"Siasatan dijalankan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.