SERDANG – Kegembiraan sepasang kekasih bersiar-siar di sebuah pusat beli-belah di Seri Kembangan dekat sini, petang Ahad lalu tidak bertahan lama apabila teman lelaki ditangkap polis kerana menggunakan motosikal curi.
Suspek warga Indonesia berusia 18 tahun dan bekerja sebagai pencuci itu dikatakan dari Shah Alam membawa kekasihnya bersiar-siar sempena cuti hujung minggu.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila dia terserempak sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Serdang yang melakukan Ops Lejang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, anggota CPJ membuat rondaan di kawasan tempat letak motosikal di bawah jejambat berdepan dengan pusat beli-belah itu kira-kira jam 6.30 petang.
Ketika pemerhatian dilakukan, suspek dikatakan cuba menghidupkan enjin motosikal jenis Yahama 125Z yang diletakkan di situ.
“Pemeriksaan dilakukan mendapati motosikal terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu. Nombor casis motosikal berkenaan didaftarkan atas kenderaan lain.
“Motosikal itu pernah di laporkan hilang di Hulu Kelang,” katanya.
Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.