Advertisement

Responsive Advertisement

Dua wanita berdepan hukuman gantung


KOTA BHARU - Dua wanita berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar 60 gram dadah jenis heroin, 7 September lalu.

Tuduhan dibuat Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad ke atas Shafina Mirsa Feizal, 32, dan Anis Suriati Mohamed, 33, di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Mereka didakwa pada tuduhan pertama mengedar 15 gram heroin dalam bilik sebuah rumah di Jalan Yakobiah, Kampung Lundang, di sini, manakala pada tuduhan kedua, mereka didakwa mengedar 45 gram dadah jenis sama.

Kedua-dua kesalahan dilakukan di lokasi sama pada jam 10.40 pagi, tarikh berkenaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Pada prosiding semalam, tiada pengakuan direkodkan dan kedua-duanya tidak dibenarkan diikat jamin.

Kes ditetapkan untuk pengurusan pada 19 November depan.