KOTA BHARU- Seorang suami merayu kepada isterinya supaya pulang ke rumah selepas wanita itu yang dipercayai menghilangkan diri sejak Sabtu lalu, masih belum ditemui sehingga kini.
Lebih merisaukan keadaan, isterinya, Norazila Abas 37, sedang mengandungkan anak keempat di samping keluar dari rumah hanya sehelai sepinggang tanpa membawa sebarang dokumen dan wang.
Menurut Zurani Ramlan, 37, sebelum kejadian, kira-kira jam 6.30 petang Sabtu lalu, dia ada berselisih faham dengan isterinya ketika berada di ruang tamu dan selepas beberapa minit bertengkar, isterinya didapati tiada dalam rumah.
“Saya tidak berniat untuk menghalaunya, mungkin perselisihan faham ini menyebabkan dia marah, lagipun dia kini sedang mengandung dan terpaksa jaga ibu saya yang lumpuh.
“Sebelum ini dia tidak pernah berperangai sebegini, namun selepas mengandungkan anak keempat, dia mudah letih dan sering tertekan,” katanya, semalam.
Zurani mengharapkan Norazila dapat pulang segera memandangkan dia khuatir dengan keadaan isterinya yang tidak membawa wang.
“Lagiu pun dia sebelum ini pernah mengalami masalah mental selepas lahirkan anak ketiga,” katanya.
Zurani membuat laporan polis di Balai Polis Bachok dan usaha mengesan isterinya masih gagal.
“Sudah puas saya mencari di seluruh kawasan kampung dan pulang ke rumah mertua di Wakaf Bharu, namun gagal. Jika ada pihak yang kenali isteri saya dan menjumpainya boleh berhubung dengan saya di talian 014-5051109," katanya.