KOTA BHARU – Penyandang juara, The Red Warriors menamatkan debaran terakhir sekali gus melepasi ranjau ‘kumpulan maut’ dengan melangkah penuh bergaya ke suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi, The Red Warriors jelas memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan membelasah Pahang 4-0 untuk muncul juara Kumpulan C.
Dengan kemenangan tersebut, Kelantan akan membuat perhitungan dengan Johor Darul Takzim FC pada aksi suku akhir pertama di Johor Bahru, 28 September ini sementara Pahang yang turut mara dengan ‘ihsan’ Terengganu akan berentap dengan PKNS FC, sehari sebelum itu.
Pahang hampir di depan ketika permainan baru memasuki minit keempat apabila rembatan Mohd Amirulhadi Zainal terbias Mohd Shakir Shaari dan bola menuju tepat ke gawang tuan rumah namun Khairul Fahmi Che Mat pantas menguis keluar bagi menyelamatkan keadaan.
Anak buah Bojan Hodak kembali memberi tentangan sengit empat minit kemudian apabila Mohd Faiz Subri bijak melintang bola kepada Indra Putra Mahayuddin betul-betul di depan gawang pelawat namun rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri.
Aksi permainan kedua-dua pasukan bertambah rancak, bermula gerakan solo Mohd Norfarhan Muhammad yang mengumpan kepada Indra Putra pada minit ke-16 namun teragak-agak untuk mengutip bola di dalam kotak penalti sebelum pelawat membalas menerusi tandukan R Gopinathan yang sedikit melewati gawang tuan rumah seminit kemudian.
Suasana di stadium keramat bergema dengan sorakan padu hampir 25,000 penyokong apabila Kelantan memperoleh gol pertama pada minit ke-20.
Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi bijak melorongkan bola kepada Indra Putra dan bekas pemain kebangsaan itu mudah memperdayakan penjaga gol, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid sebelum menolak masuk ketika gawang pelawat ternganga luas.
Ternyata jaringan tersebut menghangatkan lagi tempo perlawanan dan anak buah Dollah Salleh jelas tidak patah semangat untuk bangkit menyamakan kedudukan tetapi dikecewakan ketangkasan Khairul Fahmi yang menepis keluar rembatan Gopinathan pada minit ke-23.
Menuju minit ke-29, Kelantan kempunan untuk mendapatkan sepakan penalti apabila bola didakwa terkena tangan pertahanan Pahang, Mohd Saiful Nizam Miswan di dalam kotak penalti namun pengadil, Syed Azhar Syed Kamar tidak terpedaya dengan rayuan pemain tuan rumah.
Tok Gajah seharusnya berjaya mengimbangi kedudukan pada minit ke-42 apabila Damion Delano Stewart pantas melonjak tinggi dengan menanduk sepakan bebas Mohd Saiful Nizam namun Matias Ruben Conti gagal menyambar bola di depan gawang tuan rumah.
Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Hodak melakukan pertukaran pertama dengan memasukkan bintang import sensasi, Dickson Nwakaeme bagi menggantikan Mohd Faiz Subri sebaik babak kedua bersambung.
Penyerang Nigeria itu tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mempamerkan sentuhan berbisanya apabila melakukan umpanan pendek kepada Indra Putra pada minit ke-46 namun percubaannya tersasar di atas palang pelawat.
Kemaraan Nwakaeme seakan sukar dibendung apabila dia secara bersahaja mudah memperdayakan dua pertahanan pertahanan Pahang pada minit ke-51 sekali gus mencetuskan situasi kelam-kabut namun Mohd Norfarhan gagal menolak masuk ke gawang pelawat.
Kubu akhir Pahang terus diasak pada minit ke-63, juga menerusi Nwakaeme yang memanfaatkan kesilapan Azidan Sarudin yang kehilangan bola di luar kotak penalti namun percubaannya diselamatkan Mohd Khairul Azhan.
Pelawat bangkit melancarkan serangan balas pantas tiga minit kemudian menerusi gerakan solo Gopinathan tetapi rembatan derasnya dari luar kotak penalti singgah di tiang gol kiri Kelantan ketika Khairul Fahmi sudah tertewas di posisinya.
Namun seminit kemudian, bermulalah pesta gol buat Kelantan apabila Nwakaeme dengan tenang memporak-perandakan benteng pertahanan pelawat di dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan ke penjuru sebelah kiri untuk gol kedua pasukannya.
Kem Pahang ceria seketika pada minit ke-71 apabila Mohd Amirulhadi meletakkan bola di dalam gawang tuan rumah namun pengadil tidak mengiktirafkan jaringan tersebut setelah bekas pemain Selangor itu dikesan berada dalam posisi ofsaid.
Menghampiri minit ke-82, Nwakaeme terus mempamerkan kejantanannya apabila meledakkan gol ketiga Kelantan dengan menolak masuk sepakan bebas Zairo Anuar Zalani setelah berlaku salah faham di antara Kapten Pahang, Mohd Razman Roslan dan penjaga golnya.
Seminit sebelum permainan berakhir, Nwakaeme terus menggila apabila mudah melepasi kekangan dua pemain pertahanan pelawat sebelum merembat kencang melepasi jangkaun Mohd Khairul Azhan untuk melengkapkan hatrik pertamanya bersama Kelantan pada musim ini.