Advertisement

Responsive Advertisement

Kim Swee calon terbaik pengganti Datuk K Rajagobal



DESAS-DESUS siapakah pengganti Datuk K Rajagobal kian lantang kedengaran dalam kalangan pencinta bola sepak seluruh negara apabila hampir 37 permohonan diterima Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mencuba nasib menjadi pengendali skuad Harimau Malaya.

Difahamkan, kontrak Rajagobal tidak disambung jika gagal melepasi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan FAM andai Harimau Malaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

Bukan mempertikaikan kewibawaan dan jasanya yang menghadiahkan pingat emas Sukan Sea 2009 dan pertama kali menjulang Piala AFF Suzuki 2010 tetapi plan B perlu disediakan lebih awal!

Antara calon paling berpotensi layak mengemudi pasukan kebangsaan selepas ini adalah jurulatih kelahiran Melaka, Ong Kim Swee. Beliau bukan individu asing di Wisma FAM, Kelana Jaya apabila sudah berada di sana sejak lima tahun lalu sebaik sahaja mengambil alih peranan Rajagobal sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Muda.

Mengapa perlu Kim Swee dan bukan orang lain? Pada hemat saya, beliau adalah calon terbaik untuk jawatan jurulatih Malaysia. Bukan mahu mempertikaikan calon pengendali yang lain, namun kelebihan Kim Swee miliki kelebihan tersendiri.

Karakter beliau cukup berbeza tidak seperti yang ada pada jurulatih yang lain. Penampilannya cukup serius dalam membentuk pemain dan seorang jurulatih yang sentiasa membakar semangat anak buah bagi mencapai matlamat disasarkan.

Walaupun menikmati kejayaan bersama Harimau Muda, Kim Swee tidak mendabik dada dan menyifatkan masih banyak perlu diperbaiki dalam pasukan demi mencipta kegemilangan pada masa depan.

Anda juga boleh lihat bagaimana kepintaran beliau menyusun barisan pemain dan mencipta strategi dalam pasukan tidak kira apa jua kejohanan disertai. Misi dan visinya cukup jelas iaitu meletakkan sasaran utamanya adalah mencipta kemenangan walaupun pertandingan yang disertainya adalah sekadar jemputan.

Terbaru, kejayaan mendakap trofi Pestabola Merdeka di Kuantan baru-baru ini menaikkan lagi imej Kim Swee di mata peminat dan mungkin pihak FAM sendiri!

Jadi, kepada pihak FAM. Bukanlah minda dan mata anda seluas-luasnya. Kim Swee anak watan yang berjaya selepas Rajagobal.

Mengapa perlu membazir wang kepada jurulatih luar sedangkan kita sudah ada calon pengganti mengendalikan kem Malaysia.

Menurut laporan Sinar Harian baru-baru ini, FAM dikatakan menawarkan gaji RM59,000 sebulan kepada bekas pengendali skuad kebangsaan Jepun, Philippe Troussier, 58, bagi menggantikan Rajagobal kerana percaya jurulatih kelahiran Perancis itu mampu mengembalikan semula maruah Harimau Malaya sebagaimana ketika membimbing skuad ‘Samurai Biru’ mara ke pusingan 16 ketika Jepun menjadi hos bersama Korea Selatan untuk Piala Dunia 2002.
Troussier, bagaimanapun dikatakan hanya akan menerima jawatan tersebut jika ditawarkan pendapatan tahunan sebanyak AS$1.52 juta (RM5juta) yang menyaksikan dia bakal meraih gaji bulanan RM416,000.

Antara nama lain yang disebut-sebut sebagai pengganti Rajagobal ialah bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic, jurulatih Sarawak, Robert Alberts dan bekas jurulatih Harimau Malaya, B Sathianathan yang kini membimbing pasukan Angkatan Tentera Malaysia.

Namun, terpulang kepada FAM bagi menentukan sama ada kekalkan Rajagobal ataupun sebaliknya. Amacam?