Advertisement

Responsive Advertisement

Penganggur dipenjara lima tahun cuba suntik bayi dengan jarum dadah



KOTA BHARU - Padah bertindak agresif mengancam mencederakan isteri dan cuba suntik bayi dengan jarum dadah, seorang penganggur dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mohamed Syofian Said Mohamed, 31, mengaku mengacu sabit terhadap isteri yang juga warga Thailand, Siti Aisyah Prakai Abdullah, 35, dengan niat menyebabkan ketakutan kepada mangsa.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Gertak Kechupu, Jalan Teras Mentuan di sini, pada jam 1.40 petang, 18 September lalu.

Sebelum itu, tertuduh mengamuk tanpa diketahui punca dan masuk ke rumah sambil membawa sabit. Dia berkelakuan seperti mahu menetak kepala mangsa, menyebabkan mangsa yang takut keluar bersama anak perempuan mereka berusia 10 bulan.

Majistret, Nik Habri Muhamad dalam penghakimannya menasihatkan tertuduh supaya memanfaatkan tempoh penjara itu dengan menginsafi kesalahan dilakukan.

“Saya mengambil kira kepentingan keluarga, ayah, isteri dan anak-anak kamu. Menjadi tanggungjawab saya menghalang kejadian lebih buruk atau berlakunya bunuh jika kamu berada di luar sana,” katanya.

Mangsa sebelum ini sering dipukul dan pernah dikurung di dalam but kereta. Tertuduh juga pernah cuba menyuntik anak mereka dengan jarum dadah tetapi dihalang Siti Aisyah.

Laporan polis dibuat oleh bapa kandung tertuduh, sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.