TANAH MERAH - Taktik penyeludup negara jiran bermalam di negara ini sebelum keluar awal pagi ketika pintu sempadan dibuka untuk menyeludup keluar minyak subsidi terbongkar selepas seorang lelaki warga Thailand ditangkap, di sini, kelmarin.
Pada kejadian jam 6.35 pagi di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bukit Bunga, dekat sini, seorang lagi penyeludup berjaya melepaskan diri ke negara jiran, manakala dua kenderaan pacuan empat roda dirampas.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) daerah, Mazni Abdul Rasid @ Zakaria berkata, hasil pemeriksaan menemui kira-kira 1,000 liter minyak petrol yang cuba diseludup dalam kenderaan itu.
Katanya, bahan api dianggarkan bernilai RM2,100 itu ditemui diisi dalam kenderaan terbabit menggunakan tangki tambahan dengan setiap tangki dapat memuatkan kira-kira 500 liter minyak seludup.
“Penyeludup terbabit masuk pada waktu petang dan bermalam di negara ini sebelum keluar awal pagi apabila pintu sempadan di CIQ Bukit Bunga dibuka jam 6 pagi tetapi taktik mereka gagal selepas ditahan pihak berkuasa.
“Kita dapati kedua-dua kenderaan ini menggunakan enjin diesel tetapi pemiliknya guna dua tangki tambahan yang diubah suai bagi kegiatan menyeludup petrol,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Mazni berkata, suspek berusia 33 tahun dan berasal dari Narathiwat, Thailand yang ditahan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.