MALAM penentu bagi tiga pasukan dalam kumpulan C iaitu Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan bagi merebut dua slot ke suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini.
Perjuangan mesti diteruskan dan ketiga-tiga pasukan itu mempunyai peluang yang cukup seimbang untuk mara ketika juara musim 2001, Terengganu sekali lagi terpaksa mengucapkan ‘sayonara’ lebih awal dalam kempen kali ini.
Pasukan yang memanfaatkan setiap peluang terhidang dan meminimumkan kesilapan pada aksi terakhir malam ini, pasukan itulah yang berhak untuk melangkah ke dalam kelompok lapan pasukan terbaik.
ADA KELEBIHAN
‘This is Kota Bharu”. Kelebihan tampak memihak The Red Warriors untuk menempat slot ke suku akhir apatah lagi rekod Pahang tidak begitu memberangsangkan setiap kali bertemu skuad kendalian Bojan Hodak di Kota Bharu.
Jelas, Kelantan berada pada prestasi terbaik dan barisan pemain mereka pasti bersemangat untuk mengukir sejarah ke suku akhir di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, suasana yang pasti menggerunkan bagi mana-mana pasukan yang bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV.
TUGAS SUKAR
Bukan menidakkan kemampuan Tok Gajah, namun realitinya mereka berdepan tugas sukar untuk menewaskan Kelantan dan skuad bimbingan Dollah Salleh tidak boleh mengharapkan ihsan Terengganu melakukan kejutan ke atas Negeri Sembilan.
Apa cara sekali pun, Pahang perlu menang perlawanan ini dan barisan pemain mereka perlu memberikan komitmen 200 peratus andai mahu mengulangi pencapaian mara ke suku akhir seperti musim lalu.
TIADA TEKANAN
Negeri Sembilan jelas tidak berdepan sedikit pun tekanan untuk memburu salah satu slot ke suku akhir apabila melayan kunjungan pasukan lemah, Terengganu pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Begitu pun, Terengganu tidak akan sewenang-wenangnya memberi kemenangan mudah apatah lagi ia melibatkan maruah pasukan mereka, dan skuad kendalian jurulatih sementara, Ridzuan Abu Shah perlu bekerja keras untuk mengatasi lawan di hadapan penyokong sendiri malam ini.