BALAI BESAR - Barangan terbuang berharga seperti besi buruk yang ditinggalkan di kawasan persekitaran rumah kini menjadi buruan segelintir pencari besi buruk untuk dijual di kedai barangan lusuh.
Namun yang membimbangkan, ada pencari besi buruk ini mengambil kesempatan ketika penghuni tiada di rumah dengan mengambil barang-barang tidak sepatutnya.
Seorang penduduk, Maziawati Mamat, 31, mendakwa, dia pernah menjadi mangsa apabila basikal milik anak lelakinya yang diletakkan di garaj hilang.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika mereka sekeluarga tiada di rumah kerana keluar bekerja iaitu antara jam 9 pagi hingga 5 petang.
“Masa pemilik rumah keluar bekerja, mereka akan masuk ke kawasan rumah, terutama jika pagar tidak berkunci.
“Kejadian ini amat membimbangkan kita kerana golongan seperti ini boleh melakukan perkara lain yang di luar jangkaan termasuklah memecah masuk rumah kita,” katanya.
Pesara kerajaan, Alias Senik, 57, berkata, pihak berkenaan diharap dapat memantau aktiviti jual beli di pusat barangan lusuh bagi memastikan tiada barang curi yang dijual, selain melakukan rondaan lebih kerap di kawasan perumahan penduduk.
Katanya, penghuni rumah juga perlu mengambil langkah keselamatan dengan tidak meletakkan barangan seperti besi di kawasan mudah dilihat.
“Berdasarkan rupa mereka, saya berpendapat sebahagian besar daripada pencari bahan terbuang ini adalah penagih dadah.
“Kita bimbang sekiranya mereka turut bersenjata sewaktu memasuki rumah kita, kalau mereka cari barangan lusuh tapi tak ada, takut nanti mereka ugut kita minta barang lain pula," katanya.