Advertisement

Responsive Advertisement

Gajah masuk kawasan rumah



KUALA TAHAN - Beberapa pekebun kecil di sini mengalami kerugian besar sejak beberapa bulan lalu ekoran tanaman pisang, getah dan kelapa sawit musnah dimakan kumpulan gajah liar.

Penduduk, Khairul Anuar Hashim, 40, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM5,000 apabila 80 peratus daripada tanaman pisangnya musnah dan menjejaskan pendapatannya.

Menurutnya, beberapa pokok pisang yang tinggal itu hanya menunggu masa dimakan gajah liar kerana dalam masa sebulan mamalia itu boleh datang selama tiga minggu.

“Apabila siang tiba ia akan masuk ke dalam hutan dan apabila malam tiba ia keluar ke kebun penduduk. Beberapa minggu lalu, saya pernah terserempak dengan seekor gajah yang setinggi lima hingga enam meter.

“Kami memang tidak boleh berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat hasil tanaman kami musnah. Inilah hasil pendapatan kami sebagai orang kampung,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ismail Hamid, 60, berkata, ancaman gajah liar itu semakin melampau apabila kumpulan gajah itu semakin berani masuk ke kawasan rumah penduduk.

Menurutnya, paling menakutkan apabila salah sebuah rumah penduduk di sini mengalami kerosakan pada bahagian tingkap dapur kerana dikopak seekor gajah.

“Anak jiran kami itu melihat sendiri seekor gajah cuba mengopak tingkap rumah mereka dengan belalai. Mereka sekeluarga ketakutan dan nasib baik gajah itu tidak merobohkan rumah mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, dalam hal ini pihaknya minta pihak-pihak yang bertanggungjawab memastikan kumpulan gajah itu tidak mengancam keselamatan penduduk.

Menurutnya, selain itu dia juga bimbang ancaman gajah itu boleh menjejaskan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014 di kawasan ini termasuk di Taman Negara.

“Kita sudah bersedia untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014 dan Taman Negara merupakan salah satu destinasi yang dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Pahang.

“Jika masalah gajah liar ini tidak dibendung segera kita bimbang ia menjejaskan kedatangan pelancong ke Taman Negara kerana ia melibatkan aspek keselamatan pelancong,” katanya.