Advertisement

Responsive Advertisement

Didenda miliki ubat seks beracun

  • Didenda miliki ubat seks beracunTertuduh diiringi polis keluar dari mahkamah sejurus menjelaskan denda.

KOTA BHARU - Seorang peniaga pasar borong Wakaf Che Yeh di sini, didenda RM2,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana memiliki ubat perangsang seks yang mengandungi racun, Jun lalu.

Didenda diputuskan selepas Hazlan Omar, 49, dari Kampung Paloh di sini, mengaku memiliki ubatan tersebut untuk tujuan jualan.

Ubatan yang dimilikinya itu termasuk sekotak berjenama American Superman, enam Maxman Capsules IV, sekotak Aladdin, Brother Long Legs dan Tissue Super Magic Man yang kesemuanya mengandungi racun jenis Sildenafil serta Tadalafil.

Serbuan ke atas tertuduh di pasar borong itu dibuat anggota Penguat kuasa Farmasi Perak pada jam 10.30 malam, 22 Jun.

Pada prosiding semalam, Pegawai Penguat kuasa Farmasi, Nor Azaini Suzila Zakaria memohon hukuman berat yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh.

“Ubatan yang dijual itu mengandungi racun yang digunakan untuk mengubati pesakit jantung. Penggunaan tanpa kawalan akan memberi kesan kepada tekanan darah dan boleh menyebabkan strok,” katanya.

Namun, tertuduh kemudian merayu supaya hukuman terhadapnya dikurangkan berikutan dia menjaga ibunya dan berasal dari keluarga yang susah.

Hakim, Mohd Yusoff Yunus kemudian memutuskan denda itu dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan, jika gagal menjelaskannya.

Hukuman diputuskan mengikut peruntukkan di bawah Akta Racun 1952. Tertuduh yang tidak miliki lesen perniagaan itu kemudiannya menjelaskan denda.