Advertisement

Responsive Advertisement

Rekrut adik jual dadah

  • Rekrut adik jual dadahPolis mengiringi dua beradik terbabit yang ditangkap dalam serbuan di Kampung Jambu Golok Paka, pagi semalam, kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin.

DUNGUN - “Setiap hari saya memerlukan lebih RM100 untuk beli ‘barang’, jadi saya jual pil untuk dapatkan duit.

"Saya tahu jual dadah itu salah, tapi hanya itu jalan mudah untuk saya dapatkan wang agar boleh beli dadah untuk kegunaan sendiri."

Demikian pengakuan seorang pemuda, Jani (nama samaran), 28, yang salah membuat pertimbangan dalam hidup.

Lebih malang, Jani yang berasal dari kampung Pantai Laut Paka itu turut merekrut seorang adik lelakinya, Mamat yang ketika itu masih bersekolah di peringkat menengah agar mengikut jejak langkahnya.

Jani berkata, dia mula terjebak dengan penagihan dadah pada usia 15 tahun dan ketika itu belajar di tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Paka.

Menurutnya, pujuk rayu rakan sebaya mahu dia mencuba sejenis ‘ubat’ yang kononnya boleh menghilangkan masalah, menyebabkan dia terperangkap ke lembah hina.

Selepas ketagih, dia yang merupakan anak kedua daripada sembilan beradik akhirnya terpaksa mengambil upah menangkap ikan di laut dan wang diperolehnya sebanyak RM30 sehari digunakan untuk membeli dadah jenis pil kuda.

Kata pemuda itu, penglibatannya dalam penagihan dadah ketika itu tidak diketahui bapanya yang bekerja sebagai nelayan dan pihak sekolah, sehinggalah dia ditangkap polis.

Menurutnya, tabiat itu semakin buruk sehingga dia mula mengambil dadah jenis heroin yang harganya lebih mahal.

Bermula dari situlah, dia terpaksa menjual pil kuda kepada rakan untuk mempeoleh wang bagi mendapatkan bekalan.

Biarpun pernah menjalani hukuman penjara selama dua tahun atas kesalahan memiliki dadah, namun pengalaman menjadi penghuni tirai besi belum cukup memberi keinsafan buat dua beradik itu apabila mereka kembali mengulangi perbuatan tersebut sehingga akhirnya mereka ditangkap pihak berkuasa sekali lagi.

Kesalahan kali ini bukan sahaja bakal membawa mereka ke penjara, malah hukuman gantung mandatori selepas disyaki memiliki sejumlah dadah dipercayai jenis heroin.

Segalanya terbongkar selepas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Inspektor Ridhuan Ismail, melakukan serbuan ke sebuah rumah di kampung Jambu Golok, dekat sini, kira-kira jam 7 pagi semalam.

Dalam serbuan berkenaan, lima lelaki ditahan dalam sebuah bilik dan hasil pemeriksaan lanjut menemui empat botol serbuk putih disyaki jenis heroin yang diletakkan di atas lantai.

Turut ditemui, satu botol serbuk putih dalam poket seluar seorang daripada suspek, manakala 30 pil kemerahan disyaki methampethamin di dalam poket seluar seorang lagi suspek.

Dua beradik itu bersama tiga lagi rakan mereka masing-masing berusia 21, 25 serta 43 kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 B dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mandatori.

Malah, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis methampethamin.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan tersebut.