Advertisement

Responsive Advertisement

Karathu pilih Kelantan

  • Karathu

BEKAS pengendali Kelantan, Datuk M Karathu menyifatkan The Red Warriors mempunyai segala kelebihan untuk mara kali keempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia, 3 November ini.

Karathu yang membimbing Kelantan menjuarai trofi Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah buat pertama kali pada musim 2011 berkata, bekas pasukannya mempunyai ramuan lengkap untuk menumbangkan The Gladiators pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Menurutnya, kelebihan beraksi di stadium keramat turut meletakkan skuad kendalian Bojan Hodak selaku pasukan pilihan, meskipun peluang sebenarnya masih terbuka buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mencipta kejutan di Kota Bharu.

“Tiada kesangsian (memilih Kelantan), bukan disebabkan saya pernah melatih pasukan tersebut sebelum ini tetapi saya melihat Kelantan mempunyai karakter tersendiri untuk melangkah ke perlawanan akhir.

“Sukar bagi ATM untuk menjinakkan Kelantan di Kota Bharu. Mana-mana pasukan yang bertandang ke sana pasti merasai tekanan, bukan sahaja berdepan corak permainan pemain tuan rumah, malah puluhan ribu penyokong fanatik mereka, ” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Jurulatih berusia 70 tahun itu menegaskan, penyandang juara itu pasti turun dengan misi mendapatkan jaringan awal bertujuan membunuh semangat juang pemain ATM pada pertemuan tersebut.

“Saya percaya, ATM pasti akan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan jaringan awal. Jika gol itu terhasil, pastinya semangat pemain mereka akan membara tetapi mereka tak boleh terlalu ghairah kerana Kelantan juga mahu menjaringkan gol awal,” katanya.

Karathu yang meramalkan Kelantan mampu menundukkan ATM 2-0 pada pertemuan ulangan itu, menegaskan skuad kendalian B Satiananthan bakal tambah sengsara sekiranya tidak memberi perhatian terhadap empat tonggak TRW pada perlawanan malam ini.

“Dickson Nwakaeme, Mohd Badhri Radzi, Mohd Norfarhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin merupakan empat pemain yang boleh memusnahkan impian ATM, terutamanya Nwakaeme yang saya lihat bukan sahaja mampu menjaringkan gol tetapi juga membuka ruang kepada rakannya berbuat demikian,” katanya.

Begitu pun, jurulatih berusia 70 tahun itu turut mengingatkan barisan pertahanan Kelantan tidak leka merantai pergerakan penyerang prolifik ATM, Marlon Alex James jika tidak mahu berputih mata di hadapan penyokong sendiri.

“Padah menanti sekiranya membiarkan penyerang berusia 37 tahun itu bergerak bebas. Saya perhatikan, pada aksi di Selayang tempoh hari memang Alex James dikekang pertahanan Kelantan tetapi dia masih boleh melakukan percubaan berbahaya ke arah pintu gol,” katanya.