Advertisement

Responsive Advertisement

Indra Putra lancar perang psikologi

  • Indra Putra lancar perang psikologiIndra Putra (kanan) tenang menjalani latihan bersama rakan sepasukannya di Stadium Sultan Muhammad IV, dua hari lalu. FOTO : KHIRU SHALEH ABDULLAH

PENOLONG Ketua Pasukan The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin melancarkan perang  psikologi terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilihat begitu yakin memadamkan kelebihan jaringan dimiliki pasukannya pada pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kota Bharu, malam ini.

Indra Putra berkata, ‘perang terbuka’ di dada akhbar yang dilancarkan pemain ATM sedikit pun tidak melemahkan mental dia  dan rakannya, sebaliknya menjadikan mereka lebih bernafsu untuk membinasakan cita-cita The Gladiators di hadapan penyokong mereka sendiri.

Menurutnya, kejayaan ATM menewaskan Kelantan 3-1 pada saingan Liga Super musim ini sudah berlalu dan tidak harus dijadikan modal buat skuad kendalian B Satiananthan untuk menidakkan keupayaan pasukannya melangkah ke perlawanan akhir.

“Ketika itu Kelantan beraksi tanpa pemain import, Obinna Nwaneri di benteng pertahanan. Malam ini situasi berbeza, kami ada Nwaneri dan Azizi Matt Rose yang beraksi cukup mantap sejak kebelakangan ini.

“Apa yang boleh saya katakan, kami tidak terpengaruh langsung dengan kenyataan (mahu bangkit menewaskan Kelantan) seperti itu. Fokus utama kami ialah membantu pasukan untuk menggapai misi ke perlawanan akhir,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Tambahnya, meski pun ATM dibarisi ramai pemain berkualiti seperti Hairuddin Omar dan Mohd Shukor Adan, namun Kelantan sebenarnya jauh lebih berpengalaman mengharungi perlawanan berprofil tinggi seperti itu.

Malah pemain sayap berusia 32 tahun itu yang mendambakan pentas final kelima bersama Kelantan sejak menyarung jersi pasukan itu empat tahun lalu menegaskan, beliau mahu menebus kekecewaan apabila gagal menjaringkan gol pada aksi separuh akhir pertama, malam ini.
“Di Selayang, saya ada banyak peluang tetapi dikecewakan pemain pertahanan dan penjaga gol lawan. Insya-ALLAH, saya akan melakukan yang terbaik dengan menjaringkan gol sebagai hadiah  penyokong Kelantan ," katanya.

Dalam pada itu, Indra Putra tidak meletakkan dirinya dalam keadaan tertekan untuk beraksi, biar pun ketika ini mengumpul satu kad kuning dan berdepan penggantungan perlawanan sekiranya Kelantan layak ke perlawanan akhir dan beliau mengutip kad kedua pada pertemuan malam ini.

“Saya tidak pernah fikir soal perlu berhati-hati ketika beraksi di atas padang. Saya juga tak mahu fikir soal layangan kad kerana keutamaan saya biarlah Kelantan masuk final dahulu,"katanya.