KULAIJAYA – Seorang lelaki maut manakala tiga cedera dalam kemalangan empat kenderaan termasuk dua lori tangki, sebuah van dan kereta di Kilometer 29 Lebuhraya Utara Selatan arah Johor Bahru-Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa, Eng Boon Pin, 29 yang memandu kereta jenis Honda City yang berasal dari Taman Gunung Lambak, Kluang meninggal dunia di tempat kejadian setelah kereta yang dipandu terputus dua akibat dilanggar sebuah lori tangki.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku apabila kereta Honda City berkenaan terbabas ke bahu jalan dan melanggar penghadang jalan di laluan sebelah kiri.
“Kereta itu kemudiannya dilanggar sebuah lori tangki dari arah belakang menyebabkan kenderaan berkenaan terputus dua.
“Bahagian hadapan kereta yang tercampak ke kanan jalan kemudiannya dilanggar oleh sebuah van jenis Toyota Alphard dan sebuah lagi lori tangki,” katanya.
Zulkefly berkata, rakan mangsa, Khong Yin Ngee, 25, hanya mengalami cedera ringan manakala pemandu dan penumpang van, Tan Ah Seng, 32 dan Wang Zhi Hua, 36 turut mengalami luka ringan.
“Kedua-dua pemandu lori tangki terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan sementara mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kulai untuk rawatan,” katanya.
Mangsa mangsa turut dibawa ke Hospital Kulai untuk proses bedah siasat.