Advertisement

Responsive Advertisement

Cubaan larikan mesin ATM gagal


KULAIJAYA – Seorang pengawal keselamatan sebuah stesen minyak berhampiran pusat beli-belah, di sini berdepan detik cemas apabila didatangi lima lelaki bertopeng bersenjata parang, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, suspek yang cuba melarikan dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dari stesen minyak itu turut mengacukan parang kepada mangsa sebelum mengikatnya.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, selepas mangsa diikat, suspek telah merempuh cermin kedai stesen minyak berkenaan menggunakan kren dan cuba melarikan ATM, namun gagal.

“Pihak polis menerima panggilan pada jam 5.40 pagi dari seorang wanita yang memberitahu terdapat kejadian samun di stesen minyak berkenaan.

“Jenayah dilakukan lima suspek bertopeng yang turut membawa dua senjata jenis parang selain turut didapati menggunakan dua kenderaan jenis pacuan empat roda warna hitam.

“Dalam kejadian itu pengawal keselamatan berusia 65 tahun telah diikat oleh suspek namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kren bewarna putih yang digunakan kumpulan suspek berkenaan kemudiannya ditemui terbakar di Jalan Seelong-Kota Tinggi tidak lama selepas itu.

Zulkefly berkata, pemilik stesen minyak turut mengalami kerugian selepas suspek melarikan sejumlah kad prabayar bernilai RM700.

“Pihak polis sedang giat mengesan penjenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.