Mangsa, Abdul Aziz Daud, 58, berasal dari Pulau Seratus, dekat sini, sudah empat hari dikhuatiri hilang di laut.
Isteri mangsa, Asiah Ismail, 51 memaklumkan, setakat dia sekeluarga belum menerima sebarang khabar berita mengenai suaminya.
"Saya hanya mampu berdoa kepada ALLAH agar suami saya ditemui dengan selamat.
"Kami sekeluarga tidak putus-putus melakukan solat hajat," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Asiah berkata, dia menyerahkan kepada Pasuka Polis Marin serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menjalankan usaha mencari suaminya.
"Semalam anak saya bersama penduduk telah berusaha mencarinya, tetapi gerakan mencari terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan," katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan seorang nelayan dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu selepas keluar untuk menunda bot rakannya yang terkandas di perairan Pantai Dasar Sabak, Kota Bharu akibat kerosakan kipas enjin.
Abdul Aziz bertolak ke lokasi terbabit bersendirian dari pangkalan Kok Majid, di sini, menaiki bot nelayan pada jam 8.30 malam, Rabu lalu untuk membantu rakan-rakannya.
Bagaimanapun, selepas tiga hari mangsa tidak pulang sedangkan bot yang terkandas selamat tiba di pangkalan Kok Majid dengan dibantu nelayan lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip ketika dihubungi memaklumkan, nelayan berkenaan belum ditemui dan gerakan mencari mangsa masih diteruskan.