Advertisement

Responsive Advertisement

SPRM pantau jualan tiket bola


KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan semalam memantau proses penjualan tiket babitkan perlawanan bola sepak antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim (JDT).

Penguasa SPRM, Ismail Abdul Manaf berkata, pemantauan tersebut bagi membasmi penjualan tiket secara haram oleh ulat tiket sebagaimana yang pernah berlaku ketika perlawanan akhir Piala FA.

Menurutnya, lima pegawai SPRM ditugaskan untuk memantau sepanjang tempoh jual beli tiket dilakukan.

“Ini kali ketiga SPRM melakukan pemantauan membabitkan proses penjualan tiket perlawanan bola sepak, dan kami bertugas dari mula kaunter dibuka hingga ia ditutup.

“Dari tempoh tiga jam pertama jualan tiket semalam, semuanya berjalan lancar dan penyokong yang datang membeli pun nampak berpuas hati. SPRM akan sentiasa memantau jika membabitkan perlawanan yang penting,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menerusi Setiausaha Agungya, Azman Ibrahim mengesahkan 18,000 ribu tiket disediakan dan jumlah tersebut ditetapkan mengikut prosedur keselamatan yang dibincangkan.

Sebanyak 18,000 tiket terbuka untuk dewasa dan 2,000 untuk kanak-kanak, di mana had yang ditentukan berdasarkan kapasiti empat keping tiket setiap seorang.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati kebanyakan penyokong mula menunggu seawal jam 8 pagi lagi untuk membeli tiket perlawanan tersebut walaupun kaunter mula dibuka pada jam 9 pagi.

Keadaan nampak tenang dengan pengawasan dari pihak polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) malah kelibat ‘ulat tiket’ juga tidak kelihatan.